20 December 2017

tulis

Menulis lagi.
Seperti biasa,tidak berapa sihat.Keadaan diri yang sudah lali.Kebiasaan yang biasa di lalui.Tiada apa yang menghairankan.

Diri ini sudah tua.Semakin menghampiri alam kekal abadi.Hari hari yang mendatang,dilalui seperti biasa.Tiada yang baru,tiada apa yang ajaib.Seperti biasa hendaknya.

Pengalaman banyak mengajar.Membentuk diri,mengubah segala segi.Apa yang aku jejak jalani hanya untuk Allah dan keluarga.Tuntutan agama,permintaan keluarga cuba aku penuhi.Untuk agama dan keluarga.

Walaupun sudah tiada rasa mahu berdua,tetap aku mencuba.Demi agama dan keluarga.Aku beriman dan yakin dengan ketentuan Illahi,yang mana kehendak Allah yang utama.

Kadang,aku ingin sekali tahu,bagaimana mahu berpindah rasa suka.Mampu memberi dan menerima kepada sesuatu yang baru.Aku melihat,aku bertanya,aku memahami.Hampir semua pada mulanya cinta dan sayang,pemutusnya adalah benci dan nista.Rasa cinta dan suka itu hilang kerana sesuatu sifat,peribadi yang tidak disukai.Yang mana,yang baru itu punya sesuatu yang baru memikat rasa cinta,suka dan sebagainya.Akhirnya,kebanyakkan pengakhiran itu dengan rasa benci,nista dan sebagainya.

Aku tidak mampu begitu.
Untuk memaafkan,perlu ikhlas dan merelakan segala kesalahan.Walaupun bertimpa timpa diterima,ikhlas untuk memaafkan.Tanpa ikhlas,bagaimana untuk memaafkan?Tiada rasa benci,tidak suka,tiada apa apa sifat tidak elok.Rela dan ikhlas.

Aku adalah aku.Tiada dua mahupun tiga.Carilah dimana mana,aku tetap aku.
Walaupun aku begini,mungkin tidak sama dengan yang lain,aku tetap akan begini.

Aku tidak sedar,tidak tahu rupanya dulu aku sangat suka,cinta dan sebagainya.Rupa rupanya terlalu dalam aku jatuh tanpa aku sedar.Kesedaran itu tiba,bilamana aku kehilangan.Terlalu dalam rupanya
hingga aku gagal untuk naik kembali.Diri sendiri tidak sangka.

Satu masa dulu.
Aku sering berdoa.Ambil nyawaku dulu sebelum separuh dariku.Ya,disini rupanya.Separuh diriku.
Baru sedar setelah menulis.Separuh diriku.
Aku berdoa ambil nyawaku dulu.Kerana aku tahu aku tidak mampu menghadapi kehilangan,dan Allah beri kehilangan.Ujian yang mampu aku hadapi.Alhamdulillah.

10 tahun lalu.
Andai aku diberi satu hari masa lalu,cukup hanya beberapa masa,akan aku lafazkan,luahkan,segala galanya.Betulkan salah silap diriku,semuanya.
Takdir Allah itu sudah tertulis,kehendak Allah itu yang utama.Berlapang dada,dan berdoalah serta bertakwa,beriman dengan sebenar benar iman,akan merasa kemanisan iman.

Hargai yang ada disisi kini.Yang susah senang bersama.Baru kusedar,harga kasih sayang cintaku terlalu mahal.Sehingga hilang tidak ada lagi.Aku memandang kosong sepi tanpa apa apa.Inilah salah satu nikmat yang diambil Allah.Berdoa dan mengharap,akan diberi kembali.Aku beriman dan bertakwa.

Walaupun tajamnya menghiris hiris,aku mampu memaafkan,juga aku mohon dimaafkan.
Kerana aku mahu berjalan bebas kelak diakhirat insyAllah.Aku yakin,separuh dari diriku itu ada dan wujud.

Kenapa separuh diri?Kerana hidup bersama sama di dunia dan berjalan bersama sama menuju syurga.
Aku adalah aku.Sangat emosi malam ini,kerana aku rindu akan masa lalu.Tiada apa apa,hanya masa silam yang sudah berlalu.Pandang kehadapan,jejak jalan dengan jalan Agama.InsyAllah.


01 November 2017

: )



Hari ini,malam ini,sengaja kembali menjenguk blog ini.Membaca dan terus memahami.Sungguh tak terjangka,dari tahun 2008 sehingga 2017.Selama 9 tahun.Dari seorang remaja menjadi tua.Membesar  menjadi dewasa.

Begitu pantas masa berlalu.Detik laluan masa berbagai warna.Pahit manis berbagai sekali.Kini,masih berdiri.Jatuh bangun tidak bersendiri.Setiap penulisan ada kisah tersendiri.Membesar dengan kisah kisah yang mana kesemua itu menjadikan diri seperti hari ini.Walaupun tidak semua seperti dirancang,ketentuan Illahi itu yang utama.

Membaca kisah tulisan diri sendiri.Menjentik hati dan sanubari.Begitu indah.Ujian ujian itu tidak sia sia.Kisah kisah manusia manusia sungguh ajaib.Permainan emosi,gerak geri daya dan upaya,kesemua itu mencantum membentuk satu pertembungan kemanisan juga kepahitan.

Bagaimana,mengimbangi juga menghadapi kesemua itu bergantung pada diri sendiri,persekitaran juga yang utama Agama.Hidup tidak mampu dijangka.Ada yang berkata hidup satu percaturan.
Tidak bagi aku.Berpegang teguh pada Tali Agama,hidup ini satu ketentuan.Redha,tawakkal berserah tunggak.

Setiap insan itu berdosa.Selagi mana ada nafas,pintu taubat kemaafan itu masih terbuka.Selami diri sendiri,jatuhkan martabat diri,ratakan dahi,buang jauh ego dan kesumat hati.Mohon ampun dan maaf kepada Pencipta,juga memohon maaf sesama insan.Mati itu pasti.

Ujian ujian diri ini,menjadikan aku menghargai setiap waktu dan detik.Apa yang aku ada,aku hargai.
Setiap waktu yang aku miiki,benar aku sungguh hargai.Seperti,aku boleh kehilangan apa yang aku miliki,sekelip mata.Oleh itu,tiada mampu untuk aku menyakiti sesiapa.Mudah mudahan.

Pengalaman mengajar diri ini.Jatuh bangun,tidak sanggup mengenang kembali.Keindahan warna warni kehidupan mencorakkan masa hadapan.Bagaimana melakar menggunakan warna warni ujian masa silam,membentuk masa hadapan.


11 July 2017

Apa Khabar




Apa khabar hari semalam?
Teruntai mekar dihalaman ini.
Menari nari melurut isi hati.
Merah sejuk meredup sanubari.
Indah rasa melirik segenap diri.

Berbunga bunga rasanya.Meruap ruap umpama salju memenuhi setiap inchi dan ruang.
Waktu waktu umpama berlari.Merentas pantas melarikan diri.Tidak sekali pernah akan lupa.
Begitu utuh walau tiada daya dan upaya.Menyembah kembali meruntun sanubari.Balam balam itu berbayang bayang.Melintas lalu tiada malu.Cerita semalam.

Apa khabar hari ini?
Beribu persoalan.Tiada pertanyaan.Detik rasa hanya menilai.Tiada timbang,tiada tara ukur yang seimbang.Tiada jawapan.Sekali lalu,seimbas rasa.Detik waktu yang makin lari.Hirup lafaz yang kadang masih tertanya.Tiada apa.Naluri hanya main main mengusik minda.Hanya sesekali,imbas waktu menjengah rupa.Ku paling wajah menoleh belakang,melihat lalu itu bahagia.
Senyum diberi seikhlas rasa.

Apa khabar hari esok?
Semakin layu.Kuat utuh melangkah pergi.Semakin jauh.Balam balam itu menghilang pergi.Tiada kembali.Bekas tapak langkah menghilang.Senyap sunyi menyelit rasa.Jauh sudah.

~Entah mengapa.Aku begitu rindu.Ingin tenggelam bermesra kembali.
Menyucuk nyucuk hati ini.Begitu mahu sekali.Bukan rindu akan cinta.Jauh sekali,tetapi aku rindu akan hampa.Rindu akan kesakitan.Aneh.Aku inginkan rasa hina,kepingin rasa derita.Kejaiban lumrah manusia yang aku lalui dulu,kembali menjengah rupa,ingin menakluk hati dan aku cuba bukakan pintu memberi ruang duduki kembali.

Aku kepingin rasa itu.
Tiada berhasil rupanya.Sudah jauh berlalu pergi rasa rasa hitam.Aku berjaya rupanya.Satu fasa hidup yang dibawa dulu kini satu pedoman.Kemaafan itu wujud.Sudahlah.Cukup waktu,tiada detik,waktu dan ruang.Tiada mahu ku seret belenggu itu.


~Farizfansuri

05 July 2017

Tenteram


Aneh.Terlalu lama tidak melirik kata,menulis cumbu ribuan kata kata.
Malam ini,ingin sekali jari ini menari nari.Melalui hati,berpandukan akal,terus ke jari jemari.

Aku tidak punya peluang.
Seperti insan insan lain,penuh rasa dan harapan.Ujian ujian bahagia yang penuh meruntun sanubari.
Sungguh,begitu aneh dan menakjubkan.Satu rasa perasaan baru yang baru aku rasai.

~Satu hari,aku membawa bayi comel.Aku dukung lalu aku membawa berjalan menaiki motosikal.
Penuh dan kejab erat tangganku memegang.Lambaian angin angin menyapa wajah wajah.Lalu darah daging comel ku ini ini tertidur.Sungguh satu perasaan baru.

SubhanAllah.
Mungkin biasa bagi kebanyakkan manusia.Akan tetapi bagi aku,sungguh seperti dijentik jauh kedalam hati.Sebak.Inilah rasa bahagia.Inilah rasa melindungi.

Kadangkala,apa yang kita tidak kita miliki,pabila diberi peluang,sangat dihargai.Juga,bila sudah dimiliki.Peliharalah sebaik mungkin.Jaga dan terus menjaga mengekalkan bahagia dari dunia terus kekal abadi diakhirat.

Rezeki aturan setiap insan berbeza.Semakin tinggi mencapai langit,semakin menipis udara yang dihirup.Siapa yang tidak inginkan rasa bahagia dunia,walau sedikit,aku bersyukur.Setiap apa yang aku miliki,aku genggam.Walau kadang,aturan itu melepaskan dari genggaman,masih rupanya aku memegang.Bukan kerana apa yang aku genggam,akan tetapi kerana ini adalah diri aku sendiri.

Tidak lagi aku menoleh kebelakang.
Balam balam berbayang bayang sudah terhapus pergi.Menghilang meruap ruap umpama kabus pagi.
Terasa sejuk subur embun pagi,menghilang dalam panas mentari pagi.Betapa bertahun tahun kembali mendidik diri sendiri,inilah hakikat.Nyatakan dan hadapi.

Aku memandang kehadapan.
Pandangan yang masih mencari satu titik.Bebola mata pantas mencari satu noktah.Aku mahu bebas.
Tanpa belenggu rasa nafsu hitam,tanpa duka dan lara.Aku mahu ketenteraman abadi.Setiap hela nafas yang penuh kesejukan.Tanpa denyut yang mengganggu ritma irama ketenteraman.Tanpa ombak yang menghempas tebing,tanpa angin menundukkan ranting,tanpa apa.Sepi.Satu jalan,satu garis,satu alif.
Mati.

Aku rindu.
Akan ketenteraman abadi.Akan tetapi layakkah aku kembali ketempat asal jika denyut nadi ini senyap sekarang ini.Mampukah aku meraih simpati RahmatNya,syafaat Baginda?
Aku kenal dan aku mengenal.Masih diberi peluang baiki diri sendiri.Untuk beribadat,bertaubat,memohon maaf sesama insan.

Diri ini semakin tua.
Dedaun semakin layu.Ranting ranting semakin menunduk.Apa yang aku ingin didunia,sudah penuh aku miliki.Kasih sayang keluarga yang melimpah ruah.Cinta dan kasih sayang yang tidak pernah berkurang,malahan semakin penuh setiap hari.Aku jatuh,setiap langkah aku seret untuk bangun kembali,keluarga ini lah yang menyambut genggam tangan ini.

Dari keluarga yang bernafas,juga dari yang tiada nafas.Nikmat yang mana aku dustakan.
Aku berdoa satu hari nanti,aku miliki ketenteraman abadi.Hati yang sejuk,tenang yang kekal fana selamanya.Bersama semua kaum darah sekeluarga.Aku yakin dan aku beriman setiap PetunjukNya.
Aku akan menakluk setiap hitam,aku garap genggam setiap putih.Lalu aku akan berjalan jalan memerhati dan hanya memandang~